Tuesday, July 27, 2010

Permulaan agama ialah mengenal Allah s.w.t.


Permulaan agama ialah mengenal Allah s.w.t.

Hijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w meletakkan makrifat sebagai permulaan, sedangkan hijrah tanpa Rasulullah s.a.w menjadikan makrifat sebagai kesudahan jalan. Sebab itu orang yang berhijrah tanpa Rasulullah s.a.w, setelah memperolehi makrifat mereka beragama dengan cara lain dari cara Rasulullah s.a.w beragama. Mereka tidak lagi berpegang kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Sebenarnya mereka baharu berada di ambang pintu agama, belum lagi masuk ke dalam gerbang agama yang benar yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.

Fikir Dan Renungilah!

Friday, May 28, 2010

HAPPY BIRTHDAY ADIK FATIN!! 10 TAHUN!!


Happy Birthday Adik Fatin! Along doakan semoga adik sentiasa berjaya di dunia mahupun akhirat ... hehe malu pulak rasanya bila tak dapat sediakan hadiah untuk adik bongsu yang tersayang ni ..

Insyaallah esok along balik Terengganu ... su, pak su, tokma & mungkin long pun akan balik juga .. nanti bolehlah sambut besday adik ramai2 ...

Sunday, May 16, 2010

PEREMPUAN TIDAK BERASAL DARIPADA TULANG RUSUK

Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Sehingga terdapat ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin dan lain-lain)

Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)

Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.

Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dab pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)

Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?

Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat

Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;

1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk

2. Perempuan seperti tulang rusuk.

3. Perempuan adalah tulang rusuk.

2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas

Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)

Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)

Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat.

Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.

عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا .

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها.

Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari4889).

Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها.

Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)

Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.

Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:

باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع .

Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.

Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.

Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:

إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها

Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)

Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.

Sokongan Kepada Penafsiran Ini

Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:

عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء.

Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.

Kesimpulan

Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.

Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!

Selamat Hari Guru!


SELAMAT HARI GURU!
TERIMA KASIH DIATAS SEGALA ILMU YANG TELAH DICURAHKAN
SEMOGA JASA GURU2 SEMUA DIBALAS OLEH ALLAH ..

Rindu Yang Sering Bertandang ...


Rindu ini sering bertandang & aku sentiasa gelisah tatkala bersua dengannya. Apakah senyuman atau tangisan yang perlu aku hulurkan kepadanya tatkala ia menyapa & menghulurkan tangannya untuk berjabat denganku?

Hati ini dilanda kesedihan & sebuah kepiluan yang amat kelam tatkala merinduinya. Apakah aku bisa menghentikan kunjungan rindu ini agar hatiku ini sentiasa tenang melalui hari2 yang bertandang kelak?

Pagi ini rindu bertandang sepertimana hari2 yang lepas. Aku sentiasa gelisah! Terasa diri ini bagaikan dihimpit sesuatu yang amat besar, berat & gelap ... Apakah yang perlu aku lakukan untuk melepaskan rindu ini pergi?? Tidak mungkin aku bisa untuk melupakan dia. Dia pemilik senyuman yang amat cantik ....

Sunday, May 9, 2010

Selamat Pagi Cikgu: Tajuk Pelajaran: Perkataan Berlawan

Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!

Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?

Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.

Murid : (senyap)

Cikgu : Pandai!

Murid : Bodoh!

Cikgu : Tinggi!

Murid : Rendah!

Cikgu : Jauh!

Murid : Dekat!

Cikgu : Keadilan!

Murid : UMNO!

Cikgu : Salah!

Murid : Betul!

Cikgu : Bodoh!

Murid : Pandai!

Cikgu : Bukan!

Murid : Ya!

Cikgu : Oh Tuhan!

Murid : Oh Hamba!

Cikgu : Dengar ini!

Murid : Dengar itu!

Cikgu : Diam!

Murid : Bising!

Cikgu : Itu bukan pertanyaan, bodoh!

Murid : Ini ialah jawapan, pandai!

Cikgu : Mati aku!

Murid : Hidup kami!

Cikgu : Rotan baru tau!

Murid : Akar lama tak tau!

Cikgu : Malas aku ajar kamu!

Murid : Rajin kami belajar cikgu!

Cikgu : Kamu gila!

Murid : Kami siuman!

Cikgu : Cukup! Cukup!

Murid : Kurang! Kurang!

Cikgu : Sudah! Sudah!

Murid : Belum! Belum!

Cikgu : Mengapa kamu semua bodoh sangat?

Murid : Sebab saya seorang pandai!

Cikgu : Oh! Melawan!

Murid : Oh! Mengalah!

Cikgu : Kurang ajar!

Murid : Cukup ajar!

Cikgu : Habis aku!

Murid : Kekal kami!

Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!

Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!

Cikgu : Sudah, bodoh!

Murid : Belum, pandai!

Cikgu : Berdiri!

Murid : Duduk!

Cikgu : Saya kata UMNO salah!

Murid : Kami dengar KeADILan betul!

Cikgu : Bangang kamu ni!

Murid : Cerdik kami tu!

Cikgu : Rosak!

Murid : Baik!

Cikgu : Kamu semua ditahan tengah hari ini!

Murid : Dilepaskan tengah malam itu!

Cikgu : (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar.)

by CIKGU AZHAR ALI'S NOTES (SMKSA)

Tuesday, April 20, 2010

Tasawwur Islam Bukan Tasawuf

oleh Ibnuyaacob

Dewasa ini kita amat bersyukur semakin ramai golongan belia khususnya remaja tanpa mengira jantina sudah mula membuka minda mereka ke arah isu-isu konspirasi. Walaupun kebanyakan hujah adalah berasaskan teori dan tanggapan rawak tetapi kecenderungan mencari maklumat dan menyelitkan serba sedikit artikel konspirasi di dalam blog peribadi amat membanggakan.

Namun begitu, di dalam keterujaan mendalami isu-isu konspirasi ada juga yang terpengaruh dengan putar belit konspirasi barat yang sering memandang serong kepada syariat Islam khususnya golongan ulama.

Ianya adalah berkaitan ilmu tasawuf. Blog-blog konspirasi barat secara umumnya termasuk Texe Marrs, Alex Jones memerhatikan amalan golongan sufi sebagai salah satu persamaan dengan amalan mistik kelompok pengamal Kabbalah. Mereka mengkategorikan ilmu-ilmu kesufian (tasawuf) sama sebagai Islamic Mystic dan Islamic Kabbalah. Mereka menganggap tasawuf adalah kabbalah versi Islam.

Tanggapan Silap tentang Tasawuf

Permasalahan yang timbul ialah golongan remaja menulis di dalam blog-blog peribadi mereka bahawa mata pelajaran Tasawuf sudah dipelajari di peringkat sekolah. Oleh itu, ianya tidak perlu diperdebatkan lagi. Pada pandangan golongan remaja ini subjek Tasawwur Islam itu adalah Tasawuf. Kedua-duanya sama.

Tambahan pula mereka membaca di media-media tabloid ungkapan-ungkapan tasawuf sesat, ajaran tasawuf menyeleweng dan sebagainya, maka ia sedikit sebanyak menambahkan lagi kecurigaan mereka terhadap istilah tasawuf tanpa mengetahui maksud sebenar.

Apa yang dipelajari di sekolah berkaitan subjek Tasawwur Islam dilihat berbeza dengan ajaran Tasawuf. Mereka melihat di dalam amalan golongan Tasawuf seperti berzikir beramai-ramai, beruzlah di dalam hutan, berpakaian compang-camping amat berbeza dengan sukatan yang mereka pelajari di sekolah. Oleh itu, mereka secara langsung menyimpulkan ajaran Tasawuf sebegini sesat.

Hal ini amatlah mendukacitakan walaupun yang beranggapan demikian bukanlah menjangkau angka majoriti. Kami melihat, perkara kecil ini suatu yang membahayakan kerana ia boleh menimbulkan sedikit rasa buruk sangka kepada golongan-golongan pengamal tasawuf.

Perkara ini akan menjadi lebih bahaya kepada golongan belia muslim khususnya yang tidak mempunyai pengetahuan asas tentang agama dan bukan berpendidikan aliran agama. Kita bimbang mereka membesar dengan mempunyai tanggapan negatif terhadap tasawuf.

Kita juga amat bimbang apabila golongan belia ini lebih dahulu mengenali konspirasi dari mengenal ilmu tasawuf.

Ilmu Tasawuf dan Pendidikan Kebangsaan

Sesetengah remaja atau belia (mungkin juga golongan tua sekular) suka beranggapan bahawa ilmu tasawuf sudah pun dipelajari diperingkat sekolah. Mereka mengandaikan mata pelajaran Tasawwur Islam yang terdapat pada tinggkatan 4 dan 5 itu adalah ilmu Tasawuf.

Suka kami tegaskan di sini, Tasawwur Islam bukanlah Tasawuf. Ia seperti langit dan bumi.

Tassawur Islam adalah nama mata pelajaran Elektif yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Kebangsaan. Pelajar bukan Islam juga boleh menduduki peperiksaan untuk mata pelajaran ini. Manakala Tasawuf pula adalah nama salah satu dari tiga cabang agama Islam.

Islam terdiri daripada tiga tiang agama iaitu Tauhid, Fekah dan Tasawuf. Seseorang Muslim hendaklah mempelajari agama Islam mengikut turutan ketiga-tiga ini. Pertama memahami dan mengenal Tuhan melalui kitab-kitab Tauhid, kedua, mempelajari Fekah dan ketiganya menyempurnakan dan melindungi kedua-dua ilmu Tauhid dan Fekah tadi dengan ilmu Tasawuf.

Perbezaan Takrifan Tasawwur Islam dan Tasawuf

Di dalam hal pentakrifan, kedua-duanya mempunyai maksud yang sangat berbeza. Tasawwur berasal di dalam istilah Melayunya bermaksud Gambaran (jika huruf shod disabdukan). Tetapi di dalam kamus Dewan edisi Arab-Melayu, tasawwur diistilahkan dengan maksud yang berbeza iaitu lebih kepada suatu aspek psikologi.

Bagi perkataan Tasawuf pula, ia berasal dari tiga huruf utama shod, waw dan faa. Ketiga-tiga ini membentuk perkataan yang berbunyi shofa (bersih) atau sufi (suci). Maka istilah Tasawuf adalah kalimah yang telah menerima imbuhan yang membawa kepada istilah khusus untuk ilmu-ilmu kejiwaan.

Ilmu tasawuf juga dikenali dengan pelbagai istilah seperti ilmu ma’rifah, ilmu batiniah, ilmu al-qulub, ilmu al-hal, ilmu al-yaqin dan sebagainya.

Perbezaan ilmu Tasawwur Islam dan Tasawuf

Di bawah ini adalah ringkasan sukatan mata pelajaran Tasawuf

1. Asas Pemikiran Islam
2. Pandangan Hidup Islam
3. Institusi Islam
4. Ekonomi Islam
5. Falsafah Perundangan Islam
6. Penyelesaian Masalah


Intisari perbezaan ilmu Tasawwur Islam dengan Tasawuf

* Sukatan pelajaran Tasawwur Islam boleh berubah-ubah mengikut masa dan ia dibina oleh guru-guru agama berpengalaman dan bukan bertaraf Ulama dan wali.

* Berbeza dengan ilmu Tasawuf, ia menekankan praktikal kejiwaan, amalan zikir berjemaah, pengijazahan tarekat dan pelbagai lagi amalan hati yang sangat-sangat jarang diketemukan.

* Ilmu tasawuf dibina intisarinya oleh ulama-ulama yang mursyid, mujahid, wali dan majoritinya adalah golongan yang sangat makbul doa mereka dan dilimpah kurnia karamah yang banyak tidak sebagai mana orang-orang awam. Misalnya Ibnu Arabi, Ibnu ‘Atiullah, Imam Al-Ghazali, Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi, Syeikh Qadir Al-Jailani, Syeikh Abdullah Daud Al-Fatani.

* Sebahagian besarnya juga pernah berjumpa Rasulullah SAW, Nabi Khidir secara sedar dan mimpi mengikut tahap kewalian masing-masing.

* Pengamal ilmu tasawuf secara intensif seringkali dihadiahkan Allah keramat-keramat yang tidak dipunyai oleh orang awam manakala pelajar yang mempelajari subjek Tasawwur Islam adlaah bagi tujuan pemahaman dan peperiksaan sahaja.

Silap Faham Terhadap Ahli Tasawuf

Sesetengah orang menganggap golongan tasawuf sangat bahaya dan suka mengintai isi hati orang. Sebenarnya bukanlah tujuan pengamal tersebut untuk membaca isi hati orang tetapi ia adalah anugerah Allah kepada si pengamal di atas kesungguhannya beribadah dalam mendekati Allah.

Ahli Tasawuf juga martabatnya lebih tinggi dari Ahli Fekah kerana seluruh kehidupannya berfokus pada menumpu pengabdian diri kepada Allah semata.

Hatta Imam Syafie r.a. sekali pun ada ketikanya bila menghadapi masalah dalam menyelesaikan masalah-masalah fiqh, beliau akan mencari ulama-ulama sufi untuk menenangkan jiwa.

Malah menurut Syeikh Abu Talib Makki dalam kitab masyurnya, Qutul-Qulub, para ulama zahir apabila menghadapi masalah dalam menentukan hukum (masalah fiqh) maka mereka akan merujuk masalah tersebut kepada ulama tasawuf, sebab golongan ini dianggap lebih hampir kepada hidayah, jauh dari maksiat dan tidak dikuasai nafsu.

Tidak Semua Guru Agama Belajar Tasawuf Secara Praktikal

Seperti pada artikel terdahulu, hal-hal tasawuf janganlah ditanya di dalam internet walaupun ada ustaz-ustaz yang membuka blog untuk ruangan bertanya. Kita bimbang ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi jawapan yang boleh mengelirukan pemahaman belia tentang tasawuf.

Pada pandangan kami, jika seseorang ahli agama itu benar-benar mendalami ilmu tasawuf maka ia tidak akan sesekali membuka ruang soal jawab di internet.

Semua orang menganggap apabila seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah maka semua ilmu agama akan dipelajarinya. Hendaklah kalian berhati-hati dalam hal ini kerana hal yang demikian bisa mendatangkan ketaksuban yang tidak terperi kesannya pada kehidupan si penanya.

Kami tidak nafikan ada sesetengah guru agama menjadi penyebab utama kepada ketidakfahaman belia kepada ilmu tasawuf. Kami berani katakan hanya 0.01 peratus guru berpendidikan agama di Malaysia termasuk lepasan Timur Tengah yang belajar ilmu tarekat secara intensif.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Tasawwur Islam amat jauh bezanya dengan ilmu Tasawuf walaupun subjek Tasawwur Islam itu juga dinisbahkan ia dalam bab ilmu-ilmu pengetahuan. Namun begitu, tingkatan ilmu dan taraf kemuktabaran ilmu itu haruslah difahami terlebih dahulu.

Wallahu’alam…

P/S : Diharap artikel yang sangat kecil ini dapat menjernihkan tanggapan silap tentang ilmu Tasawuf dikalangan remaja.
Powered by Blogger.

Blogger templates