Kita tak payah ada ijazah dan diploma
jika sekadar hendak menjadi guru yang kurang ajar,
biadab dan tak sedar diri;
kita tak payah masuk politik sekadar hendak jadi pembangkang,
jaguh dan petualang kepada bangsa dan negara,
dan kita tak payah sertai kumpulan wayang kulit jika sekadar menjadi tukang karut dan dalang mengkhianati misi, merosak visi dan organisasi.
Ingatlah
wahai saudara-saudaraku
martabat diri tidak terletak di kertas bernama sijil, diploma atau pun ijazah
tetapi terletak kepada jatidiri kullu jasad berteraskan ilmu, iman, amal dan ihsan; yang disimpul mati dengan ikhlas, benar, jujur dan sabar;
berdasarkan kesepaduan antara ‘aqal, bual dan amal
agar dapat menjadi amal soleh lagi muslih sebagai bekal.
Ingatlah
bahawa segala kerja dan sumbangan yang mengharapkan balas,
tidak ikhlas namanya; segala kerja dibuat yang hendakkan puji dan puja,
mencari nama maksudnya; yang paling buruk apabila antara apa yang dikata bertentangan dengan apa yang ada di dalam dada,
khianat namanya.
Ingatlah
rezeki, untung dan rugi, pangkat dan kedudukan,
apatah lagi melintang, menegak atau pun mendatar adalah daripada
Allah s.w.t.;
sepatutnya kita bersyukur di dalam jaga dan di dalam tidur
supaya lapang kelak di dalam kubur.
Ingatlah
pesanan hadis Qudsi memberi erti:
“Akulah Allah, tidak ada Tuhan lain selain Aku,
maka barangsiapa tidak sabar atas percubaanKu,
tidak bersyukur bagi nikmatKu,
dan tidak rela terhadap keputusanKu,
hendaklah ia mencari Tuhan
yang lain daripadaKu.”
0 comments:
Post a Comment