Friday, December 4, 2009

Cerita Tiga Buah Kolam


Andaikan anda melakukan satu perjalanan yang agak jauh dan menempuh pelbagai rintangan dan kesulitan. Setelah beberapa hari, bekalan makanan dan air yang anda bawa sudah kehabisan. Anda berasa amat tertekan, keletihan dan kelaparan serta kehausan yang amat sangat.

Namun destinasi anda masih jauh. Dalam keadaan yang semakin mencabar itu, anda tiba ke suatu tempat di mana terdapat tiga buah kolam. Dengan tidak sabar-sabar lagi anda meluru ke salah satu kolam tersebut dengan tujuan hendak meminum airnya kerana kehausan yang tidak tertahankan lagi. Alangkah terkejutnya anda apabila anda menundukkan kepala untuk mencecah permukaan air kolam yang jernih itu, selera anda tiba-tiba tertutup. Anda tidak tergamak untuk meneruskan hasrat anda kerana anda melihat bertimbun-timbun tulang-temulang memenuhi kolam itu walaupun airnya begitu jernih. Anda beredar menuju ke kolam yang kedua. Sekali lagi anda terkejut apabila mendapati kolam ini pun dipenuhi dengan rambut manusia, sedang melintuk-liuk di dalam air kolam yang amat jernih itu. Anda berasa hampa kerana anda tidak sanggup menghirup air yang bercampur dengan rambut manusia.

Anda kemudian mencuba nasib ke kolam yang ketiga. Aduhai malang sekali, anda terkejut lagi kerana kolam yang ketiga ini lebih meloyakan. Seluruh kolam yang ketiga ini dipenuhi dengan darah manusia.

Anda terduduk dan termenung memikirkan bagaimana anda hendak mengatasi masalah kehausan yang anda sedang tanggung. Bekalan makanan sudah habis, air pula tidak ada kecuali air yang di dalam tiga buah kolam ini. Dan anda pada logiknya akan menemui maut jika anda tidak mahu meminum air dari kolam tersebut. Nah, sekarang anda terpaksa memilih. Manakah di antara tiga buah kolam itu yang anda sanggup meminum airnya?

Jika anda memilih air kolam berisi tulang-temulang; anda adalah seorang yang keras hati, ertinya dalam hubungan pergaulan dengan rakan atau pun hubungan bersuami isteri anda seorang yang keras hati iaitu apa kata anda itulah keputusannya. Sifat ini ditamsilkan kepada sifat tulang yang keras dan tidak dapat dilentur lagi.

Jika anda memilih air kolam berisi rambut; anda seorang yang kelihatanya ‘lemah-lembut’ tetapi sebenarnya anda seorang yang agak licik, cerdik dan tidak mudah diputar-belit atau dipermainkan, malah semakin orang hendak ‘membelit’ anda semakin pintar anda mengatasinya.

Jika anda memilih air kolam yang dipenuhi darah; ertinya anda seorang yang bersetia dalam persahabatan atau perkahwinan dan kekeluargaan. Anda seorang yang berhati mulia, anda sanggup berkorban apa sahaja (walaupun berkorban darah) terhadap orang yang anda sayangi.

Apa gunanya cerita ini? Ia berguna jika kita ingin mengetahui serba-sedikit watak dan hati perut orang yang berhubungan dengan kita sama ada rakan sekerja, kakitangan organisasi, pelanggan, sahabat handai atau terhadap pelajar-pelajar kita sendiri. Caranya ialah dengan menceritakan senario di atas kepada yang terlibat kemudian minta mereka membuat pilihan.

Dari jawapan tersebut dapatlah kita ketahui sifat seseorang itu seperti tamsil yang disebutkan itu.

~ (Cerita Guru Tasauf)

Kisah Aku dan Kepunyaanku



Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain-main di tepi sebuah sungai. Mereka membuat istana-istana pasir, dan setiap orang mempertahankan ‘istana’ dengan berkata, “Ini istanaku.” Mereka mengasingkan istana-istana masing-masing dan tidak membenarkan sebarang perbuatan daripada sesiapa pun menyentuh atau merosakkan istana mereka itu.

Apabila semua istana itu telah siap, seorang budak telah menyepak sebuah daripada istana pasir kepunyaan seorang budak yang lain, dan memusnahkannya sama sekali. Apa lagi budak yang jadi pemilik istana yang dimusnahkan tersebut menjadi marah lalu menarik rambut dan memukul akan budak yang menyepak istananya sambil berteriak, “Dia telah punahkan istanaku! Marilah tolong aku menghukumnya sebagaimana dia patut terima.” Semua budak-budak yang lain pun datang membantu. Mereka memukulnya dengan sebatang kayu dan memijaknya apabila dia jatuh terbaring di tanah……Dan tidak lama selepas itu, mereka kembali bermain dengan istana pasir masing-masing, dengan setiap orang berkata, ” Ini istana milikku; tiada siapa yang boleh mengambilnya. Awas! Jangan sentuh istanaku!”

Namun petang menjelang; hari menjadi semakin gelap dan mereka semua berfikir bahawa mereka patut kembali ke rumah. Tidak seorang pun kini peduli lagi apa akan jadi kepada istana mereka. Seorang budak memijak-mijaknya, seorang yang lain pula ‘memusnahkan’ istananya dengan tangannya. Kemudian mereka beredar pulang, masing-masing ke rumahnya.

~ The World’s Wisdom

Cerita Dua Ekor Keldai



Sekali peristiwa dua ekor keldai telah dibawa oleh tuannya mengangkat barang: seekor membawa garam di dalam beberapa karung diikatkan di atas belakangnya, dan seekor lagi membawa bunga karang (iaitu sepan) diikatkan kepada belakangnya juga. Maka tatkala mengharung melalui sebuah anak sungai keldai yang membawa garam itu telah tergelincir beberapa kali dan jatuh tergolek ke dalam air. Maka garam itu pun beransur-ansur larut; tiap-tiap kali ia bangkit air garam itu pun berlelehan turun dari kiri kanan rusuknya. Akhirnya ia pun merasa ringan,. Setelah sampai ketebing sebelah, melompat-lompatlah ia oleh kerana kesukaan.

Apabila dilihat oleh keldai yang membawa sepan itu ia pun hairan lalu ia bertanya kepada taulannya itu dengan bahasa keldai: “Hai! Apa sebabnya awak telah menjadi terlampau suka ini? Tadi kawan tengok awak terkial-kial di bawah beban awak itu; sekarang nampaknya awak sudah ringan dan boleh berlari melompat-lompat dengan riang pula!” Jawab taulannya itu: “Masa kawan mula-mula tergelecek dan jatuh dalam sungai itu tadi kawan rasa beban di atas belakang kawan hancur menjadi air serta ringan rasanya. Sebab itu kawan pun sengaja membuat-buat jatuh lagi beberapa kali, supaya banyak lagi beban kawan itu hancur. Sekarang sudah ringan betul!”

Maka keldai yang membawa sepan itu pun menetapkan dalam hatinya hendak membuat-buat jatuh pula dalam air bila menyeberang anak sungai yang lain kelak, supaya bebannya pun menjadi ringan juga. Oleh itu apabila terjumpa sebuah anak sungai lagi dan ia turun mengharungi bersama taulannya itu hendak menyeberang, ia pun pura-pura tergelincir lalu rebah ke dalam air hingga bergolek-golek. Maka sengaja ia lambat bangun, kerana menantikan biar banyak bebannya itu hancur pula! Tetapi kasihan! Apabila ia bangun dirasanya jangankan bebannya itu bertambah ringan, malahan telah bertambah berat pula berganda-ganda daripada dahulu, sebab sepan itu semuanya telah penuh dimasuki air. Dalam hal yang demikian, mahu tak mahu berjalanlah juga ia naik ke tebing sambil mengerang dan mengeluh oleh terlalu beratnya, sepertikan hendak patah rasa belakangnya!

Ketika itu tuannya, yang dari tadinya telah memerhatikan sahaja akan kelakuan keldai itu dengan perasaan lucu, datang hampir kepadanya lalu berkata: “Hai Si Dungu yang bebal! Sungguhlah engkau ini bodoh dan tongong! Tiada engkau mengerti bahawa beban engkau dengan beban taulan engkau itu tidak sama jenisnya! Engkau hanya meniru dan mengikut- ngikut dengan buta tuli, tidak dengan fikiran dan faham yang terang! Padanlah balasan yang engkau terima ini dengan bodoh engkau itu!! Bangsaku manusia pun banyak yang berbuat seperti engkau ini, mengikut-ngikut perkara yang mereka tiada tahu dan tiada mengerti!”

~ Pendita Za’aba

Empat Jenis Manusia

Terdapat empat jenis manusia. Ada manusia yang mengetahui dan tahu bahawa mereka mengetahui. Tanyalah (belajar) pada mereka. Ada manusia yang mengetahui dan tidak tahu bahawa mereka mengetahui. Mereka ini pelupa. Ingatkan mereka! Ada manusia yang tidak mengetahui dan tahu bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka perlukan petunjuk. Ajarilah mereka. Dan ada manusia yang tidak mengetahui dan tidak tahu pula bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka jahil. Hindarilah mereka!”

~ Imam Al-Khalil bin Ahmad
Powered by Blogger.

Blogger templates