Friday, December 4, 2009

Cerita Dua Ekor Keldai



Sekali peristiwa dua ekor keldai telah dibawa oleh tuannya mengangkat barang: seekor membawa garam di dalam beberapa karung diikatkan di atas belakangnya, dan seekor lagi membawa bunga karang (iaitu sepan) diikatkan kepada belakangnya juga. Maka tatkala mengharung melalui sebuah anak sungai keldai yang membawa garam itu telah tergelincir beberapa kali dan jatuh tergolek ke dalam air. Maka garam itu pun beransur-ansur larut; tiap-tiap kali ia bangkit air garam itu pun berlelehan turun dari kiri kanan rusuknya. Akhirnya ia pun merasa ringan,. Setelah sampai ketebing sebelah, melompat-lompatlah ia oleh kerana kesukaan.

Apabila dilihat oleh keldai yang membawa sepan itu ia pun hairan lalu ia bertanya kepada taulannya itu dengan bahasa keldai: “Hai! Apa sebabnya awak telah menjadi terlampau suka ini? Tadi kawan tengok awak terkial-kial di bawah beban awak itu; sekarang nampaknya awak sudah ringan dan boleh berlari melompat-lompat dengan riang pula!” Jawab taulannya itu: “Masa kawan mula-mula tergelecek dan jatuh dalam sungai itu tadi kawan rasa beban di atas belakang kawan hancur menjadi air serta ringan rasanya. Sebab itu kawan pun sengaja membuat-buat jatuh lagi beberapa kali, supaya banyak lagi beban kawan itu hancur. Sekarang sudah ringan betul!”

Maka keldai yang membawa sepan itu pun menetapkan dalam hatinya hendak membuat-buat jatuh pula dalam air bila menyeberang anak sungai yang lain kelak, supaya bebannya pun menjadi ringan juga. Oleh itu apabila terjumpa sebuah anak sungai lagi dan ia turun mengharungi bersama taulannya itu hendak menyeberang, ia pun pura-pura tergelincir lalu rebah ke dalam air hingga bergolek-golek. Maka sengaja ia lambat bangun, kerana menantikan biar banyak bebannya itu hancur pula! Tetapi kasihan! Apabila ia bangun dirasanya jangankan bebannya itu bertambah ringan, malahan telah bertambah berat pula berganda-ganda daripada dahulu, sebab sepan itu semuanya telah penuh dimasuki air. Dalam hal yang demikian, mahu tak mahu berjalanlah juga ia naik ke tebing sambil mengerang dan mengeluh oleh terlalu beratnya, sepertikan hendak patah rasa belakangnya!

Ketika itu tuannya, yang dari tadinya telah memerhatikan sahaja akan kelakuan keldai itu dengan perasaan lucu, datang hampir kepadanya lalu berkata: “Hai Si Dungu yang bebal! Sungguhlah engkau ini bodoh dan tongong! Tiada engkau mengerti bahawa beban engkau dengan beban taulan engkau itu tidak sama jenisnya! Engkau hanya meniru dan mengikut- ngikut dengan buta tuli, tidak dengan fikiran dan faham yang terang! Padanlah balasan yang engkau terima ini dengan bodoh engkau itu!! Bangsaku manusia pun banyak yang berbuat seperti engkau ini, mengikut-ngikut perkara yang mereka tiada tahu dan tiada mengerti!”

~ Pendita Za’aba

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Blogger templates