Thursday, February 4, 2010

Bicara Dikala Sepi


Dikala sepi ini segalanya ingin berbicara. Meluahkan segala yang terpendam dalam. Kata -kata yang diluahkan dan penulisan yang dilebarkan belum tentu dapat menceritakan segalanya. Kekusutan akal, ketandusan hati dan kebencian nafsu yang semakin meninggi.

Dikala sepi yang menghimpit ini segalanya meronta. Menyuarakan dan meluahkan segala yang terpendam dalam. Aku terhimpit antara akal, hati dan nafsu. Semuanya berlawanan dan berusaha untuk menguasai satu sama lain.

Aku melihat dikiri kamarku yang kuning ini terhidai sejadah. Sejadah yang dulunya dibasahi air mataku. Kini telah lama sejadah itu tidak aku hamparkan. Kamarku yang suram ini dilantainya dipenuhi dengan kertas-kertas dan buku-buku bagaikan tiada kekosongan untuk sejadah itu dihamparkan. Aku hamba yang sentiasa lupa. Layakkah aku menggelarkan diriku ini hamba kepada-Nya?

Mengapakah kini segalanya telah berbeza? Mengapa kini aku tidak seperti dulu? Adakah aku ditinggalkan-Nya atau aku meninggalkan-Nya? Aku tidak menepati janji-janjiku dulu. Namun Dia tetap memelihara aku dengan segala nikmat-nikmat. Dulu setiap kali aku mengetahui tentang Dia pasti aku akan tersenyum dan terpaku kaku tapi kini semuanya bagaikan lenyap. Tiada lagi yang mengajari aku. Tiada lagi yang memberi soalan-soalan kepada aku. Kemanakah semuanya pergi? Aku terasa bersendirian bagaikan jauh dari pandangan KhaliQku.

Kini aku sekali lagi dilanda kegelapan. Aku kehilangan arah. Hatiku ini dipenuhi debu-debu duniawi. Debu-debu yang membuatkan aku tersungkur jatuh. Aku tidak lagi mampu mengawal hati, akal dan nafsu. Cinta ini membuatkan aku rebah. Cinta ini membuatkan aku merana. Cinta ini membuatkan berpaling! Hati, akal dan nafsuku menuju memburu dan berkiblatkan cinta duniawi...

Aku telah jatuh tersungkur. Tiada gunanya pengetahuan yang tinggi melangit jika hati tiada merasai hakikat Yang Hak lagi. Ombak duniawi ini terlalu besar. Aku kelemasan dihanyutkan duniawi. Adakalanya aku mampu bernafas menghirup udara Yang Hak namun ianya hanya sementara kerana aku tenggelam dibawa arus ombak duniawi yang besar ini.
Wahai Yang Hak sesungguhnya Kau ketahui bahawa hati hamba ini tidak pernah lupa kepada-Mu tapi hati ini sentiasa kalah dengan pakatan jahat nafsu dan akal.

Adakalanya akal ini memihak kepada hati namun nafsu ini tetap berjaya menarik akal memihak kepadanya dan adakalanya hati terikut-ikut dengan keinginannya yang kuat itu.
Bebaskanlah hati hamba ini daripada perasaan cinta ini. Cinta ini membuatkan hamba sakit. Membuatkan hati hamba ini selalu mendesaki hamba. Hamba tidak lagi mampu menuruti kehendak hati ini. Terlalu pedih cinta ini. Wahai Yang Hak, cukupkanlah hati ini hanya cinta kepada-Mu ...

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Blogger templates